KLANG: Polis percaya siasatan kes seorang lelaki yang mati ditetak di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Bukit Tinggi 2, di sini Sabtu lepas dapat diselesaikan dengan penahanan 16 individu yang disyaki terlibat dengan kongsi gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya telah menahan 10 individu yang terdiri dari lapan lelaki dan dua wanita di beberapa lokasi di Lembah Klang termasuk Sri Petaling dan beberapa lokasi di Ledang dan Muar di Johor, semalam.

"Jumlah tangkapan terkini adalah seramai 16 orang dan hasil siasatan awal kami, enam daripada mereka berada di lokasi kejadian ketika mangsa ditetak dan kami percaya mereka inilah yang melakukan perkara terkeji ini," katanya kepada pemberita di Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana di sini hari ini.

Terdahulu, Nik Ezanee bersama sepasukan polis berserta salah seorang suspek berada sekitar jambatan berkenaan bagi mengesan tiga parang dibuang ke dalam Sungai Klang yang digunakan suspek untuk menetak mangsa yang berusia 47 tahun itu.

Katanya khidmat daripada penyelam Unit Tindakan Khas akan digunakan bagi membantu mengesan senjata terbabit.

Nik Ezanee berkata pihaknya kini menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan motif pembunuhan dalam kes itu namun beliau percaya ianya ada kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.

"Kami percaya kes ini ada membabitkan kumpulan-kumpulan kongsi gelap dan kami akan tengok dari segi undang-undang lain yang sedia ada sama ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.

Polis Kontinjen Selangor dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya masih cuba untuk mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh itu.

"Kami masih memerlukan mereka berempat ini dan kepada masyarakat yang berada di luar sana jika ada apa-apa maklumat tentang mereka, sila hubungi kami," katanya.

Nik Ezanee turut mengucapkan syabas kepada Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli kerana berjaya menyelesaikan kes ini dengan bantuan Bukit Aman.

-- BERNAMA