Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lelaki maut dibaham harimau ketika cari rotan

SINAR HARIAN
Seorang lelaki maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor di Sungai Siput, semalam. - Foto Sinar Harian
Advertisement

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor di sini pada Isnin.

Mangsa, Zamberi Angah, 42, yang merupakan Orang Asli ditemukan tidak bernyawa di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlakunya serangan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya masuk ke kawasan hutan dalam Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan.

Difahamkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang sebelum anggota Unit Konservasi Hidupan Liar (UKHM) bersama kakitangan Perhilitan Sungai Siput bergegas ke lokasi.

Operasi pencarian bersama bermula kira-kira jam 6.30 petang dengan disertai anggota polis Balai Polis Lintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak.

Mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan gigitan pada tengkuk mangsa serta kesan makan pada bahagian lutut kanan sehingga paras pinggang.

Selain itu, kesan pergelutan, seretan, darah mangsa, tapak kaki harimau belang serta serpihan seluar dan stoking turut ditemukan di kawasan berkenaan.

Jarak antara lokasi dipercayai berlaku serangan dengan tempat mayat mangsa ditemukan dianggarkan kira-kira 200 meter.

Perkara itu turut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang merangkap Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurutnya, kejadian berkenaan amat memilukan dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta masyarakat setempat.

 

"Allahyarham diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan bersama seorang rakannya.

"Saya bersama isteri turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah serta menghulurkan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga," katanya.

Beliau berkata, pihak Perhilitan akan membantu waris mendapatkan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar selain memberikan khidmat nasihat keselamatan kepada penduduk.

"Perangkap harimau belang akan dipasang dalam masa terdekat dan saya berharap tindakan pemantauan serta kawalan dapat dilaksanakan segera demi menjamin keselamatan penduduk, khususnya masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai turut supaya tidak memasuki kawasan berkenaan buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement