SEPANG: Seorang lelaki maut dipercayai ditetak sebelum mayatnya dibuang ke dalam tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya dekat sini pada Sabtu.

Mangsa dipercayai individu warga tempatan itu bagaimanapun ditemui orang awam yang melalui lokasi kejadian sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemeriksaan dijalankan turut menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terjunam di lokasi kejadian.

"Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian baju T berwarna hitam dan berseluar jeans serta bertali pinggang.

"Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tetak di bahagian kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus, " katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, seorang lelaki yang sedang memancing menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung pada jarak lebih kurang tiga meter di lokasi kejadian kira-kira jam 8 malam.

"Saksi menghampiri objek berkenaan dan mendapati objek tersebut merupakan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian sebelum menghubungi balai polis Cyberjaya untuk tindakan selanjutnya

"Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sinar Harian