MELAKA: Seorang pemuda maut selepas dipercayai ditikam menggunakan parang oleh kenalannya dalam satu pergaduhan di Kampung Sungai Udang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kejadian yang berlaku di hadapan rumah mangsa itu dipercayai berpunca daripada telefon bimbit.
Advertisement
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas dipercayai ditikam sebanyak tiga kali di dada sebelah kiri.
Christopher berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 44 tahun dipercayai datang ke rumah mangsa untuk mengambil semula telefon bimbit miliknya yang sebelum ini diserahkan kepada mangsa.
“Pertemuan antara dua lelaki di laman rumah keluarga mangsa itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan sebelum mangsa diserang menggunakan parang.
“Abang mangsa yang juga berada di lokasi cuba mengejar suspek, namun lelaki itu melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter sebelum bertindak bersembunyi di dalam kereta milik orang awam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki berkenaan saling mengenali dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan.