KOTA BHARU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai menikam seorang lelaki menggunakan sebilah pisau pemotong sayur semasa melakukan hubungan seks di Kuala Krai.

Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan telah menikam mangsa dipercayai kekasihnya sebanyak tiga kali di bahagian perut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sekitar jam 6.30 petang pada Isnin lalu pihaknya telah menerima maklumat berkenaan penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam di Dataran Lemang Manek Urai, Kuala Krai.

"Hasil siasatan awal terhadap mangsa yang berusia 45 tahun itu mendapati ada kesan tikaman pada bahagian perut, namun tiada sebarang kesan darah dijumpai di lokasi lelaki terbabit ditemui.

"Hasil semakan rekod mendapati mangsa merupakan seorang suspek berkait kes kurungan salah terhadap seorang wanita di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan polis juga mendapati kejadian tersebut adalah pada 28 Mac lalu yang mana mangsa yang telah membawa suspek dari Sungai Tong, Setiu, Terengganu ke beberapa kawasan di sekitar daerah Kuala Krai.

Ujarnya, mangsa dipercayai telah melarikan diri setelah wanita berkenaan berjaya melepaskan diri daripada pengawasannya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

Muhamad Zaki berkata, punca kematian mangsa disebabkan luka yang terdapat di bahagian perut kesan daripada tikaman yang menembusi abdomen serta terkena usus najis.

Muhamad Zaki memberitahu, mangsa juga tidak mendapatkan rawatan awal di pusat kesihatan sehingga menyebabkan luka dalam menjadi parah akibat jangkitan kuman.

"Mangsa turut mempunyai beberapa rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik.

"Kes disiasat bawah Kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian