JASIN: Parti Wawasan Negara (Wawasan) berharap dapat mempertahankan sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Timbalan Penyelaras Wawasan Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata dua kerusi tersebut antaranya termasuk Bemban, yang dijadikan asas rundingan berdasarkan prinsip penyandang.
Bagaimanapun, satu lagi kerusi iaitu Sungai Udang telah ditukarkan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin hasil rundingan pucuk pimpinan parti.
"Jadi kita harapkan Paya Rumput itu adalah kerusi (yang diberikan kepada) Wawasan. Sebab asalnya adalah Sungai Udang yang ditukar kepada Paya Rumput.
"Tetapi ia terserah kepada pimpinan atas macam mana sebab kami di pihak bawah ini tak termasuk dalam meja rundingan. Meja rundingan hanya pimpinan atas sahaja yang terlibat.
“Pendirian kami ialah seperti tadi, harapan nak (mempertahankan kerusi), tetapi kalau sudah ada sesuatu yang perlu dipertimbangkan dalam meja rundingan, terpaksa tukar, jadi kami akur sahaja sebagai ahli parti,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Yadzil berkata Pantai Kundor juga antara kerusi DUN yang dicadangkan sebagai pertukaran bagi Sungai Udang.
Menurutnya, Sungai Udang dianggap sebagai kerusi 'kategori A' dan sewajarnya ditukar dengan kerusi yang mempunyai kedudukan setara.
“Kalau dapat, tukarkan dengan kerusi yang sama taraf. Kita anggap kerusi Sungai Udang ini adalah gred A. Jadi sepatutnya ditukar dengan kerusi yang sama taraf dengannya. Salah satunya Pantai Kundor," katanya.
Ditanya kemungkinan Wawasan diberikan lebih daripada dua kerusi, beliau menjelaskan perkara itu masih terbuka, bergantung pada pertimbangan kepimpinan termasuk kedudukan kerusi Parlimen serta kekuatan calon yang bersesuaian.
Dalam pada itu, Mohd Yadzil mengakui terdapat suara tidak puas hati dalam kalangan akar umbi susulan perubahan agihan kerusi, termasuk keputusan tidak mengekalkan Sungai Udang kepada Wawasan.
Bagaimanapun, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan lebih awal supaya tempoh kempen selama dua minggu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati pengundi.
"Benda itu perkara biasa, mesti akan ada berbunyi jugalah. Sekarang pun banyak suara yang tak sedap didengar di mana-mana peringkat setelah calon BN dan calon Pakatan Harapan (PH) diumumkan.
"Sama juga dengan kami, di peringkat akar umbi ada juga yang nyatakan tidak setuju, orang kata rasa tidak puas hati memang ada. Tetapi benda itu asam garam... Dalam pilihan raya ini akan berlaku isu macam itu (pertukaran kerusi)," ujarnya lagi.
Dalam PRN Melaka pada 2021, Mohd Yadzil menang kerusi DUN Bemban atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum beliau menyertai Wawasan selepas dipecat daripada parti berkenaan.
Sementara, DUN Sungai Udang dimenangi oleh Dr Mohd Aleef Yusof atas tiket Bersatu, sebelum beliau juga mengambil keputusan menyertai Wawasan pada Ogos lalu.
Perikatan Nasional (PN) dijadual mengumumkan senarai calon mereka pada 29 Oktober (esok) bagi dipertaruhkan dalam PRN Melaka 2026.
BN sebelum ini memaklumkan tujuh kerusi diberikan kepada Pas dan rakan kerjasamanya, sementara 21 kerusi kekal dipertahankan oleh gabungan berkenaan pada PRN Melaka yang dijadual pada 14 November depan.