TAIPING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan termasuk sebuah ambulans di Kilometer 229.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Syahmi Ishak, 21, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku selepas kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kanan dan terhenti di lorong kanan.

"Keadaan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun di lorong kanan telah melanggar kereta mangsa sebelum berpusing dan melanggar sebuah ambulans yang bergerak di lorong kiri.

"Empat buah kenderaan lain iaitu Volkswagen, Perodua Axia, Honda City dan Honda Civic yang berada di lorong kanan turut bergesel dengan kenderaan mangsa namun pada waktu berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Osman berkata, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

"Kenderaan terlibat telah dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

*Berita asal di Sinar Harian