KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku bersalah  atas pertuduhan merompak dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Syed Hassan Husaini Syed Muhamad Saufi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merompak telefon bimbit milik mangsa di tangga sebuah rumah flet di daerah Kuala Terengganu pada jam 5 petang, 5 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk mangsa dari arah belakang di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.