LANGKAWI: Seorang lelaki warga Palestin mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret  Langkawi di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan rakan senegaranya hingga parah bulan lalu.

Tertuduh, Mustafa F M Alabed Sadeya, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Izzeddin A Z Alqassass menggunakan pisau di Jalan Teluk Baru, Pantai Tengah, kira-kira 5 petang pada 29 Mac lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dan kes disebut semula 19 Mei depan.