SENTUL: Seorang lelaki terpaksa berputih mata selepas menjadi mangsa kes penipuan dalam talian menggunakan aplikasi Telegram.

Mangsa warga tempatan membuat laporan polis setelah ditipu dalam urusan pelaburan melibatkan kerugian RM53,800.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari dalam kenyataannya pada Khamis memaklumkan, pengadu berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi Telegram pada Mac lalu namun hanya berkomunikasi pada hujung April lalu.

"Ia selepas pengadu berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine di mana pengadu mula merasa yakin setelah menerima pulangan sebanyak RM543.

"Hasil siasatan mendapati, pengadu membuat pembayaran lapan kali transaksi secara berperingkat sejak 27 April lalu ke dalam lima akaun bank berbeza.

"Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah.