KOTA TINGGI: Seorang lelaki warganegara Singapura sesat dan masih hilang, ketika melakukan aktiviti pendakian di Hutan Simpan Panti Timur, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, individu itu dikenali sebagai, Jason Ren Jie, 30-an.

Katanya, mangsa berasal dari China dan kini merupakan warganegara Singapura.

"Laporan polis diterima dari rakan mangsa pada jam 3.26 petang. Rakan lelakinya itu, warga tempatan berusia 30-an berkata, mereka mendaki bersama sebelum mangsa hilang dari pandangan.

"Lebih kurang jam 11.30 pagi mereka berdua mula mendaki. Namun dimaklumkan oleh rakan mangsa, lebih kurang jam 1 petang mereka terputus hubungan apabila mangsa dan rakannya berpisah di satu lokasi ketika mendaki.

"Rakan mangsa berjalan di hadapan, manakala mangsa berada di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul. Rakan mangsa kemudiannya cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hussin, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat.

Katanya, sehingga kini mangsa masih belum dijumpai serta operasi mencari dan menyelamat disambung pagi ini.

"Operasi mencari dan menyelamat ini turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan.

"Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan hutan simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi.

"Orang ramai juga perlu memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelak kejadian seperti itu berulang pada masa depan," katanya

Pada 14 Ogos lalu, seorang warga Singapura juga dilaporkan hilang ketika mendaki ketika mendaki Gunung Panti Barat, Batu Ampat di sini ditemui selamat keesokan harinya selepas berjaya keluar sendiri.