PENDANG: Seorang lelaki tidak sempat menerima habuan membawa 11 pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas kereta Proton Waja dipandunya mengalami kerosakan di Kilometer 63.1 Arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian pukul 8.05 pagi tadi, polis telah menerima panggilan daripada anggota Polis Bantuan Peronda Lebuhraya memaklumkan sebuah kereta mengalami kerosakan dan sebaik pemeriksaan dilakukan menemui seramai 11 orang PATI berada di dalam kereta.

Beliau berkata, anggota polis bergegas ke lokasi dan sebaik tiba polis terus membuat tangkapan ke atas 11 PATI terbabit.

“Pemandu kereta yang dipercayai menjadi ‘transporter’ telah melarikan diri sebaik melihat kenderaan polis bantuan tiba.

“Semua 11 lelaki dipercayai warganegara Myanmar berusia 20 hingga 50 tahun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang untuk tindakan lanjut dan turut merampas kereta Proton Waja,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Arriz Sham berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua PATI terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati semua pati itu akan dihantar kepada satu sindiket di bahagian selatan tanah air yang menawarkan pekerjaan kepada pati itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.