IPOH: Lelaki yang ditahan kerana menabur paku di atas jalan raya semasa memandu kereta di Pusing, Batu Gajah Jumaat lalu, dipercayai tiada kaitan dengan aktiviti kumpulan penunda kereta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri sebaliknya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana berada di bawah pengaruh dadah.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Suspek juga bukan seorang mekanik dan tidak bersekongkol dengan mana-mana geng tarik atau tunda kereta.

"Lelaki itu macam 'psiko' sikit, (mungkin) kerana dia berada di bawah pengaruh dadah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPK Perak di sini hari ini.

Suspek yang memandu kereta jenis Nissan Almera itu dikesan menabur paku di atas jalan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Ipoh-Lumut dekat Pusing, Batu Gajah.

Suspek ditangkap pada pukul 3 pagi Sabtu lalu di Changkat Larang, Lahat selepas beberapa jam video kejadian tular di media sosial Facebook.

Suspek direman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.