TAIPING: Seorang lelaki yang terjatuh ketika memancing di Sungai Bidara, Sungai Kerang, dekat sini semalam, ditemui lemas hari ini.

Mayat mangsa, Mohd Hafiz Hashim, 26 tahun, ditemui kira-kira jam 9.26 pagi.

Mangsa dikatakan terjatuh dari bot ketika keluar memancing di sungai berkenaan bersama seorang rakannya, awal pagi semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Kami menerima panggilan dari pihak polis mengatakan terdapat seorang lelaki berbangsa Melayu telah terjatuh dari bot ketika sedang memancing bersama rakannya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Foto JBPM Perak

Ekoran daripada itu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ditubuhkan untuk mencari mangsa.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa ditemui di sekitar lokasi dia dipercayai terjatuh.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai sendiri Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Rafeel Hairul Richard, tamat jam 11.18 pagi.