KLANG: Seorang lelaki diberkas selepas menikam seorang wanita sehingga maut dalam kejadian berdekatan sebuah restoran di Jalan Bayu Tinggi dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati mangsa berumur 26 tahun sebelum itu bertemu dengan suspek di restoran berkenaan kira-kira jam 1.20 petang.

"Selepas selesai makan, kedua-dua mereka kemudiannya pergi ke kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir kereta berdekatan.

"Siasatan mendapati, ketika tiba di kereta, suspek kemudiannya bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hoong Fong berkata, suspek kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam kereta berkenaan sebelum bergerak ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong 5, Kapar.

"Setibanya di rumah, suspek cuba beberapa kali mengejutkan mangsa, namun mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Suspek kemudian bertindak mencederakan dirinya sendiri dengan menikam bahagian badan menggunakan pisau yang sama terhadap mangsa," katanya.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat berkaitan kejadian kemudiannya memberkas suspek di lokasi berkenaan.

"Sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan tiba kira-kira jam 4.20 petang dan menahan suspek berumur 44 tahun itu.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa yang merupakan wanita tempatan berada di tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Hoong Fong berkata, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) yang memeriksa keadaan mangsa kemudian mengesahkan kematian mangsa terbabit.

"Siasatan di lokasi kemudian berjaya menemui pisau yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, motif kejadian serta hubungan antara mangsa dengan suspek. Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.