Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lelaki warga Bangladesh maut dilanggar lori

kemalangan
Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 17.5 Jalan Kuala Terengganu–Kuala Berang, dekat Binjai Rendah, pagi tadi.
Advertisement

MARANG: Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 17.5 Jalan Kuala Terengganu–Kuala Berang, dekat Binjai Rendah, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Saari Mohamed berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah lori Isuzu dengan penunggang basikal kira-kira 10.30 pagi.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berumur 42 tahun dari arah Ajil, Hulu Terengganu terlanggar mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba.

"Pada awalnya, pemandu lori berkenaan sempat menekan brek, tetapi jarak yang terlalu dekat menyebabkan kemalangan tidak dapat dielakkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saari berkata mangsa Abdus Salam, 51, yang bekerja sebagai buruh binaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement