Skip to main content

Malaysia

Lelaki warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara di Pelabuhan Klang

71743102937_courtgavel.jpg
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 kali. -Gambar hiasan
Advertisement

KLANG: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di Kampung Tengah Telok Gong, Pelabuhan Klang, awal bulan ini.

Maung Maung, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Myanmar oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Myo Than Naing di sebuah premis di Jalan Tengah, Kampung Tengah Telok Gong, Pelabuhan Klang antara 9.30 malam hingga 10 malam, 5 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Insp Mohamad Rabiul Awal Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Sept depan bagi sebutan semula kes. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement