KUALA LUMPUR: Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ini bermakna Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00,” menurut kenyataan itu.

Namun Lembaga berkata, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi bekas Perdana Menteri itu ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengenepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada bulan Mac tahun lepas, Najib gagal mendapat kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Keputusan itu secara majoriti dibuat empat panel hakim yang dibaca Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan disokong Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.