KOTA BHARU: Rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dijadikan sebagai penjara dan tempat tahanan untuk beliau seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Peguam bela dan peguam cara, Nik Saiful Adli Burhan menjelaskan, merujuk kepada tafsiran penjara sebagaimana termaktub dalam Seksyen 2 Akta Penjara iaitu: penjara ertinya mana-mana rumah, bangunan, kepungan, tempat atau mana-mana bahagian yang diisytiharkan sebagai sesuatu penjara di bawah Seksyen 3, hendaklah termasuk tanah, bangunan di sekitar kepungan penjara, juga tanah lapang dan tanah-tanah lain, bangunan dipunyai atau bercantum dengannya serta digunakan oleh banduan.

Menurutnya, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 pula menyatakan bagaimana sesuatu tempat boleh dijadikan penjara iaitu: Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam warta, isytihar mana-mana rumah, bangunan, kepungan, tempat, atau mana-mana bahagiannya sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah dan boleh dengan cara sama mengisytiharkan bahawa mana-mana penjara sedemikian hendaklah terhenti sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini.

Nik Saiful Adli Burhan

“Berdasarkan dua seksyen ini sahaja, mana-mana orang berpendidikan undang-undang boleh memahami bahawa semua tempat boleh dijadikan tempat tahanan banduan.

“Cukup dengan merujuk dua peruntukan undang-undang ini, rumah Datuk Seri Najib boleh dijadikan sebagai penjara dan tempat tahanan untuk beliau,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh berkata, sebagai seorang peguam bela jenayah, beliau percaya bahawa mana-mana orang yang disabitkan bersalah adalah dikawal selia di bawah Akta Penjara 1955.

“Saya nasihatkan semua pihak yang berminat memberikan ulasan berkenaan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ini, supaya memahami undang-undang dan bukan sekadar mahu bercakap politik semata-mata,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan bahawa hukuman tahanan di rumah tidak pernah wujud dalam sistem perundangan di negara ini kerana ia tiada dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan atau Akta Penjara.

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan YDPA ke-16.

Titah Adendum tersebut supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. - Sinar Harian