ALOR SETAR: Seorang penternak lembu terpaksa memandikan haiwan ternakan mereka dua kali sehari berikutan cuaca panas sehingga suhu mencecah 40 darjah Celsius yang melanda negeri Kedah ketika ini.

Menurut Mahadi Hasan, 45, keadaan cuaca panas yang melampau khususnya pada waktu tengah hari menyebabkan dia perlu memberi tumpuan yang lebih dalam soal penjagaan haiwan ternakannya.

Kata Mahadi, dia perlu sentiasa memastikan 16 ekor lembunya mendapat bekalan air yang mencukupi dan kekal hidrasi bagi mengelakkan sebarang situasi yang mengancam kesihatan ternakannya.

Malah dia juga perlu pastikan kesemua lembu ternakan tidak terdedah terlalu lama pada cuaca panas dan akan membawa ke tempat teduh.

“Kalau waktu biasa (bukan panas melampau) saya bagi mandi (waktu) petang sahaja antara pukul 6 atau 7 petang, saya bagi mandi sekali sahaja.

“(Tetapi) sekarang waktu panas ni dalam pukul 10 atau 11 pagi saya bagi mandi sekali lepas itu petang sekali… sehari dua kali untuk memastikan (lembu-lembu) tidak terlalu panas, kasihan juga dengan lembu-lembu,” ujar Mahadi.



Mahadi yang telah mengusahakan penternakan lembu lebih tujuh tahun lalu di Kampung Sungai Mati, Langgar enggan sebarang risiko terjadi kepada lembu-lembu ternakannya kerana kebanyakan telah ditempah untuk Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Dalam memastikan lembu-lembu berkenaan terjaga, Mahadi harus menerima hakikat dia perlu mengeluarkan belanja yang lebih bagi penyediaan makanan seimbang dan berkualiti untuk ternakannya.

Ini adalah kerana, jelasnya, cuaca panas ketika ini turut menyebabkan rumput-rumput di kawasan ragut menjadi layu dan kering.

Kata Mahadi, lazimnya dia akan membelanjakan sehingga RM300 sebulan untuk 16 ekor lembu, namun kini, perbelanjaannya sudah mencecah RM500 kerana perlu menyediakan makanan dedak berlebihan berikutan cuaca panas yang menyebabkan rumput kering.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada Selasa memaklumkan gelombang haba Tahap 2 direkodkan berlaku di seluruh Perlis dan Pokok Sena, Kedah.

Gelombang haba atau Tahap 2 berlaku apabila suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celcius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut di sesuatu kawasan.

Menurut MetMalaysia, terdapat 26 kawasan di Semenanjung berada pada tahap berjaga-jaga (Tahap 1) iaitu di Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang dan Kota Setar, sementara di Pulau Pinang melibatkan kawasan Timur Laut dan Perak pula melibatkan Kampar, Kuala Kangsar dan Kinta.