UMNO perlu melakar strategi yang kukuh bukan setakat mempertahankan legasi UMNO yang berdekad malah kepergantungan parti-parti komponen yang lain terhadap parti keramat ini.

PAU 2017 dianggap sebagai perhimpunan agung yang terakhir sebelum berhadapan dengan Pilihan Raya Umum PRU14 yang akan datang.

Ia secara langsung menunjukkan PAU kali ini adalah sebuah perhimpunan yang amat terpenting untuk UMNO terus kekal sebagai parti pemerintah ulung negara ini.

UMNO adalah parti yang tunggak kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di dalam menjaga kepentingan semua kaum lain termasuk Melayu dan bukan Melayu.

Mekanisme inilah yang kita pegang dan pelihara sejak era kemerdekaan 1957 dahulu, yang mana parti pembangkang sehingga hari ini gagal mencapai tahap 'consensus' ini di dalam menjaga kepentingan sosio-ekonomi semua kaum supaya tidak ada yang ketinggalan di proses pembangunan negara. Intipati ini yang kita pegang selama ini.

Ini bukan soal setakat mengundi pembangkang disebabkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan malah melihat pembangunan masa hadapan lima tahun seterusnya. Benda ini masih kabur dan ramai yang masih tidak melihat hala tuju dan masa depan kepentingan semua kaum jika kita di bawah pemerintahan pembangkang.

Hari ini kita melihat BN di bawah PM Najib Tun Razak bersifat terbuka mengambil kira kesemua pendapat rakyat apabila untuk merangka sebarang strategi termasuk Bajet, TN50 dan sebagainya menerusi penjelajahan Perdana Menteri itu sendiri dan juga penyaluran maklumat menerusi platform media sosial yang lain.

Ini adalah satu yang langkah proaktif kita lihat di alam Kerajaan BN. Maka, penjanaan persepsi haruslah betul di kalangan rakyat dan tidak mempercayai kesemua maklumat itu tanpa kesahihan. Kedatangan PM dan TPM di dalam meninjau keadaan Pulau Pinang yang dilanda banjir adalah satu kepimpinan yang perlu diteladani tanpa mengira idelogi politik.

UMNO perlu berdiri teguh dan utuh sebagai sebuah parti Melayu Islam yang besar yang masih memerintah dan mengepalai parti-parti komponen yang lain. Sekiranya struktur UMNO ini gelabah di peringkat akar umbi, maka keseluruhan rangka strategi pembangunan parti-parti komponen yang lain juga akan terjejas.

Kesetiaan kepada institusi kepimpinan parti yang mana harus diperkukuhkan. Strategi ini bakal meraihkan kemenangan parti di PRU14 sekiranya dikecapi dari peringkat akar umbi lagi. Ini termasuk kepekaan terhadap elemen-elemen yang boleh memecah-belahkan parti yang berpotensi menjejaskan kestabilan parti.

Kali ini perhimpunan agung diharap akan lebih menumpukan kepada startegi-startegi keperkasaan UMNO dalam menghadapi PRU14. UMNO kali ini bukan sahaja berhadapan dengan polemik penubuhan parti-parti politik baharu, strategi mereka berganding bahu dengan pakatan pembangkang malah terpaksa bertentangan dengan bekas-bekas ahli UMNO yang mempunyai agenda yang tersendiri.

PRU14 mungkin akan menyaksikan jumlah undi yang berpecah mengikut beberapa kelompok parti. Sekiranya perkara ini berjaya diselesaikan oleh UMNO yang berpayungkan BN sudah tentu ia juga mampu menarik lebih ramai sokongan rakyat terutamanya golongan M40 menjelang PRU14.

Dalam pada itu, PAU tidak semestinya harus menyentuh agenda politik semata-mata sebaliknya boleh menjadi medan mencari jalan untuk menambahkan peluang pekerjaan rakyat bagi menambahkan rezeki ekoran ekonomi yang tidak menentu.

Jika perkara ini lebih banyak dibangkitkan daripada berpolitik sudah tentu rakyat mampu melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mengutamakan rakyat dan menolak pelbagai dakwaan pembangkang berhubung UMNO.

Maka, perjuangan parti UMNO harus jelas kerana pembangkang ketika ini lebih bertindak agresif untuk mengambil alih kerajaan.

Yang pasti kesemua sayap UMNO tidak kira Pemuda, Wanita dan Puteri pasti perlu mempertahankan Presiden mereka kerana Presiden adalah tonggak kekuatan UMNO.

Survival UMNO banyak bergantung kepada keperkasaan dan ketahanan ahli-ahlinya terhadap musuh yang cuba menghancurkan parti keramat orang Melayu.

Tahun lepas PAU dipenuhi dengan kisah-kisah di mana UMNO diftnah oleh ahli tertentu semata-mata untuk kepentingan peribadi mereka hinggakan laungan ‘No Retreat No Surrender’ yang dibuat oleh Presiden UMNO di hadapan lebih kurang 5,000 hadirin termasuk delegasi UMNO dari luar negara sebenarnya dijalankan kepada beberapa individu tertentu sahaja.

Ia sebenarnya satu perang psikologi kerana presiden tidak akan berundur dan tidak akan mengaku kalah kepada pihak-pihak yang menggunakan cara tidak wajar untuk menjatuhkan beliau.

Bagi parti UMNO, jika Presidennya tidak dapat dipertahankan oleh ahli-ahlinya maka sia-sialah mereka menjadi ahli UMNO.

Amanat presiden kali ini tentu amat penting. Ini bukan waktu untuk menjatuhkan atau menaikkan sesiapa di dalam UMNO sebaliknya ia adalah untuk menjaga survival UMNO dan kesinambungan kuasa untuk memelihara orang Melayu dan Bukan Melayu. Di sini juga termaktub nasib parti-parti komponen lain yang menjaga kepentingan mereka.

Jika tumbangnya UMNO, maka terlerailah payung orang melayu. Ini kerana di bawah naungannya bukan sahaja orang melayu bahkan kaum-kaum lain juga dapat dilindungi dan Raja-Raja dapat dijaga.

Maka, fokus dan keutamaan Presiden UMNO pastinya terhadap PRU14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Amanat pada PAU tahun ini juga pastinya akan merangkumi amaran serta peringatan kepada ahli UMNO supaya jangan alpa dan leka dengan startegi-startegi pembangkang. Ini kerana musuh UMNO sudah berubah jika dahulu mereka musuh yang nyata kini musuh UMNO adalah bekas ahli-ahlinya.

Apakah yang bakal akan dibincang turut menjadi perhatian kepada bukan Melayu yang bakal akan melihat perbahasan. Isu yang perlu diberi perhatian ialah isu berkaitan sosio-ekonomi rakyat di sebalik polemik pembangkang yang memainkan agenda politik.

Fokus utama perlu menjurus ke arah meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat. PAU juga diharapkan tidak membangkitkan soal politik semata-mata kerana isu rakyat menjadi keutamaan pada hari ini.

Sekiranya puak pembangkang asyik memperjuangkan politik bagaimana pun dengan isu sosio ekonomi rakyat? Maka, kerajaan perlu memandangkan serius berhubung isu-isu pembangunan supaya agenda pembangkang untuk menggulingkan kerajaan tidak dapat diteruskan kerana rakyat masih memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaaan jika isu sosio ekonomi menjadi fokus utama PAU, terutamanya kos sara hidup di bandar yang membawa isu kemiskinan bandar serta jurang pendapatan ekonomi antara mereka yang tinggal di bandar dan luar bandar. Maka, tibalah masanya perhimpunan PAU kembali berjuang untuk menyelesaikan perkara ini.

UMNO bukan sahaja dilihat sebagai sebuah parti yang senantiasa memperjuangkan nasib orang melayu sebaliknya parti ini menunjangi rakyat berbilang dan negara.

Perhimpunan kali ini harus menjadi bukti kepada rakyat bahawa parti ini sedia menjadi pembela kepada masyarakat serta berjuang memperbaiki kehidupan rakyat agar lebih baik pada masa akan datang.

Isu berhubung pembangunan rakyat memang patut dibangkitkan dan tidak perlu bermain politik seperti konvensyen pembangkang kerana rakyat sudah muak mendengar agenda permainan politik.

Sebaliknya, mereka mahu melihat kerajaan yang mempunyai agenda yang jelas untuk mengukuhkan sosio ekonomi rakyat dan Negara yang perlu menjadi agenda utama PAU kali ini sekaligus memantapkan persediaan PRU14.


*Prof Madya Dr. Sara Chinnasamy adalah Penganalisis Politik & Media Sosial di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.

** Pendapat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kena-mengena dengan Astro AWANI