PASIR GUDANG: Seorang ibu kandung tergamak mengelar mati bayinya yang berusia setahun enam bulan dalam satu kejadian di kawasan perumahan, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian lebih kurang jam 1.30 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek telah mengirim gambar (si mati) yang berlumuran darah di bahagian leher melalui aplikasi WhatsApp ke telefon bimbit milik suaminya.

"Tangkapan dibuat ke atas suspek warga tempatan berusia 32 tahun untuk membantu siasatan lanjut.

"Sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengelar bayi lelakinya dirampas di lokasi kejadian.

"Suspek akan direman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara jenayah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes bunuh berlainan, Kumar memaklumkan, ia membabitkan seorang lelaki warga emas di kawasan Taman Rinting, Masai lebih kurang jam 10.50 pagi semalam.

Menurut Kumar, mayat lelaki warga tempatan terbabit ditemui dengan kesan luka tetakan di beberapa bahagian tubuh badan.

"Tindakan pantas sepasukan polis berjaya menahan lima lelaki warga tempatan, berumur lingkungan 35 hingga 48 tahun di lokasi berasingan sekitar Johor Bahru.

"Pihak polis turut merampas beberapa barangan milik si mati dan sample swab di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek kes ini mempunyai pelbagai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek juga akan direman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," jelas beliau.

Kumar berkata, polis Johor juga dapat menyelesaikan dua kes pembunuhan ini dalam tempoh kurang 24 jam.

Kedua-dua kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat. Motif dan punca kematian masih disiasat,"katanya.