BANGI: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalak untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian yang mampu membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi kepada golongan muda.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bidang itu tidak lagi wajar dianggap sebagai pilihan kedua atau ketiga, sebaliknya perlu dijadikan pilihan utama bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor agrikomoditi negara.
Beliau berkata lepasan TVET pertanian berpotensi memperoleh pendapatan melebihi kadar gaji minimum sekiranya memiliki kemahiran yang diperlukan pihak industri.
“Kita mahu selain daripada mereka yang bernasib baik masuk ke universiti, mereka yang lepasan SPM juga digalakkan masuk ke TVET pertanian dengan gaji melebihi kadar gaji minimum.
“TVET bukan pilihan kedua atau pilihan ketiga. Insya-Allah TVET akan menjadi pilihan utama kepada anak-anak muda di negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skuad Agrokomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Mengenai Skuad Agrikomoditi KPK, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penubuhannya merupakan pendekatan baharu bagi memperkukuh advokasi sektor berkenaan terutama di peringkat akar umbi.
“Skuad ini diharapkan bukan sekadar membawa mesej dan risalah, tetapi juga turun ke akar umbi untuk mempertingkatkan martabat mereka yang terlibat dalam sektor pertanian dan komoditi. Ini penting sebagai advokasi yang sangat signifikan bagi mengubah persepsi dan meyakinkan rakyat bahawa agrikomoditi adalah sektor yang moden, bermaruah dan bernilai tinggi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pemerkasaan jaringan lapangan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan realiti yang dihadapi pekebun kecil, pengusaha serta komuniti desa adalah penting.
Beliau menegaskan bahawa sektor komoditi negara yang merangkumi getah, koko, lada, kenaf dan kayu berpotensi besar untuk terus diperkembangkan.
Menyedari keperluan itu, Ahmad Zahid berkata Skuad Agrikomoditi KPK akan digerakkan secara berperingkat di setiap kawasan Parlimen dengan penglibatan aktif golongan muda termasuk mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).
Skuad Agrikomoditi KPK ialah platform sukarelawan dan pembangunan bakat yang menghubungkan golongan muda, pekebun kecil, institusi TVET, IPT dan pemain industri bagi memperkasakan sektor agrikomoditi negara.
Antara peranan utama skuad itu ialah menjadi ejen transformasi digital dengan membawa teknologi baharu, bertindak sebagai duta kelestarian bagi menerangkan komitmen Malaysia terhadap amalan mampan serta membantu pekebun kecil menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi.
-- BERNAMA