Pihak bomba telah mengesahkan satu letupan asid berlaku di Sekolah Menengah Datuk Lokman yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, kejadian berlaku kira-kira pada pukul 11.33 pagi, sewaktu kerja-kerja pelupusan dan pemindahan yang dilakukan oleh kontraktor di dalam sebuah lori.

Sebanyak 12 tong berada di dalam lori tersebut, tetapi hanya satu tong yang meletup dan menghasilkan percikan api.

Balai-balai yang terlibat dalam proses pemadaman ialah unit Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, unit BBP Keramat dan unit HazMat dengan seramai 25 anggota bomba.

Nombor siri tong asid yang meletup ialah 429 dan jenis pemadam api yang digunakan ialah jenis debu kering.

Api dapat dikawal dan telah berjaya dipadamkan.

Mangsa yang terlibat merupakan dua orang guru wanita, 17 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki.

Murid-murid yang terlibat dikatakan mengalami muntah-muntah dan ada diantara mereka yang pengsan.

Pihak ambulan telah dikejarkan ke lokasi untuk membawa mangsa ke hospital berdekatan.