PRK Kinabatangan: Calon Bebas lancar manifesto, kemuka 10 tawaran

Goldam berkata beliau memilih untuk melancarkan manifesto di media sosial kerana percaya ia jambatan terbaik bagi menyampaikan mesej perjuangannya. - Gambar/ Bernama
KINABATANGAN: Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Goldam Hamid melancarkan manifesto yang mengandungi 10 tawaran.
Pelancaran manifesto berkenaan dibuat menerusi laman Facebook beliau, semalam.
Goldam, 40, ketika ditemui Bernama hari ini berkata beliau memilih untuk melancarkan manifesto di media sosial kerana percaya ia jambatan terbaik bagi menyampaikan mesej perjuangannya.
Antara tawaran itu ialah pembangunan asas melibatkan jalan raya, air bersih dan elektrik; pemerkasaan wanita dan ibu tunggal; bantuan pendidikan institusi pengajian tinggi awam RM2,000 dan memperkasa perkhidmatan kesihatan hingga ke kawasan pedalaman.
PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam yang menggunakan logo berlian.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan ini, manakala 20 Jan sebagai undi awal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


