NIBONG TEBAL: Lima sekeluarga yang cedera akibat insiden letupan gas memasak di Taman Cenderawasih di sini, pada Ahad kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh berkata, seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala empat yang lain di wad biasa.

“Ketika kejadian, mangsa bersama ahli keluarganya baru pulang ke rumah dan semasa membuka pintu, tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan lima  ahli keluarga cedera. Kini, mereka yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Seorang kanak-kanak berusia enam  tahun berada di Unit Rawatan Rapi (ICU)  dan empat orang berada wad biasa,” katanya.



Menurut Phee, hasil pemeriksaan yang dijalankan  petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Selatan mendapati sebanyak empat buah rumah yang terlibat dalam kejadian itu.

Difahamkan, kebocoran gas memasak daripada salah sebuah rumah mengakibatkan sebahagian besar rumah tersebut rosak teruk.

Letupan tersebut juga mengakibatkan tiga rumah berhampiran mengalami kerosakan.

Kesemua mangsa yang terlibat kini  dalam proses membuat laporan polis.

Phee berkata, JKM yang mengadakan lawatan di lokasi kejadian telah menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang terlibat manakala bantuan pemulihan rumah akan dipertimbangkan.



Anggaran kerugian masih belum diperincikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi, empat buah rumah rosak akibat letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak.

Akibat kejadian itu, rumah yang masing-masing berkeluasan kira-kira 74 meter persegi mengalami kesan kemusnahan pada beberapa bahagian yang dianggarkan kira-kira 70 peratus dan 10 peratus.