Letupan Red Fort: Anwar kutuk tindakan keganasan, zahir takziah kepada keluarga mangsa

Menurut Anwar, tindakan wajar dikecam sekeras-kerasnya jika insiden tersebut disahkan sebagai tindakan keganasan. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita susulan insiden letupan berhampiran Red Fort di Delhi, India pada Isnin malam.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita susulan letupan berhampiran Red Fort di Delhi, India, serta menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat India yang terlibat.
- Anwar menegaskan bahawa sebarang tindakan keganasan adalah tidak dibenarkan dan menghormati usaha pasukan penyelamat serta pihak berkuasa India dalam menyiasat insiden tersebut.
- Letupan berhampiran stesen Metro Red Fort di Delhi menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh, tiga atau empat kereta terbakar dan rosak, dengan kira-kira 15 jentera bomba dan penutupan kawasan dilakukan.
“Saya amat sedih dengan kejadian letupan berhampiran Red Fort di Delhi yang mengorbankan beberapa nyawa dan mencederakan ramai yang lain.
"Takziah ikhlas saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan rakyat India atas kehilangan ini,” katanya menerusi kenyataan rasmi di Facebook hari ini.
Tegasnya lagi, tindakan wajar dikecam sekeras-kerasnya jika insiden tersebut disahkan sebagai tindakan keganasan.
"Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan yang menyasarkan nyawa tidak berdosa dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat serta pihak berkuasa India yang sedang berusaha menyiasat punca kejadian serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Doa dan ingatan kami bersama semua yang terkesan," katanya lagi.
Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam kejadian letupan berhampiran stesen metro Red Fort di Delhi.
Berdasarkan maklumat terkini, letupan berlaku berhampiran pintu masuk No. 1 stesen metro Red Fort di Delhi pada 6.55 petang waktu tempatan (1.25 tengah hari GMT).
Akibat letupan itu, tiga atau empat kereta berhampiran terbakar dan rosak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


