GEORGE TOWN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan garis panduan berhubung pelaksanaan e-invois, kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta pada Julai ini, bagi membolehkan mereka mengetahui lebih lanjut berhubung inisiatif baharu tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata dalam masa sama, pihaknya turut menjalankan sesi libat urus di seluruh negara bagi memberi penerangan dan penjelasan berhubung pelaksanaan e-invois itu.

"Libat urus akan dilaksanakan ke seluruh negara terutama di peringkat awal ini, kerana kita hendak memastikan apa yang dibangunkan itu nanti bersesuaian dengan keperluan daripada industri, garis panduan akan dikeluarkan pada Julai nanti dan akan diuruskan mengenai keperluan teknikal.

"Lagipun kita buat banyak libat urus itu untuk mendapatkan maklumat daripada syarikat-syarikat, agar ia tidak menjadi sesuatu yang terlalu berkos tinggi kepada industri to menggunakan sistem itu," katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus berkenaan e-invois dengan petugas media dan wakil industri zon utara di sini, hari ini.

Mohd Nizom berkata pelaksanaan e-invois, akan meningkatkan kecekapan perniagaan melalui penjimatan kos dan mempermudahkan proses kerja pembayar cukai dengan ketersediaan praisi maklumat pelaporan cukai selaras dengan 'compliance-by-design'.

Mohd Nizom berkata ketika ini sebanyak 4,000 syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta, disasarkan menjadi kumpulan pertama terbabit pelaksanaan e-invois yang dijangka bermula1 Jun, tahun hadapan.

Beliau berkata inisiatif e-invois juga sejajar dengan perkembangan arus revolusi digital yang pesat, dengan gaya perniagaan kini yang memerlukan cara lebih mudah untuk membuat pertukaran maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat domestik mahupun global.

"Jika mereka (pihak industri) ada keperluan tambahan, mereka boleh beri maklum balas kepada pihak kami...jadi ini proses libat urus yang berterusan, sehingga sistem ini dilancarkan nanti," katanya.

Mohd Nizom berkata secara keseluruhannya, apabila sistem e-invois itu dilaksanakan ia dapat membantu syarikat menjimatkan kos dari segi penyimpanan rekod dan pelaksanaan perniagaan.

Beliau berkata LHDN yakin, sistem e-invois itu dapat dilaksanakan seperti yang dirancang walaupun masih banyak persoalan daripada pihak industri, mengenai sistem tersebut.

"Sistem e-invois ini sangat positif terutama bagi syarikat-syarikat besar, kerana ia juga telah dilaksanakan di banyak negara lain yang mempunyai sistem invois," katanya.

E-invois ialah inisiatif untuk memacu agenda digitalisasi negara sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan merupakan salah satu program di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0, yang melihat kepada keperluan perniagaan untuk bertukar maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat global.

Ia merupakan invios elektronik yang merujuk kepada penghantaran invois daripada penjual kepada pembeli, dalam format elektronik yang bersepadu.

-- BERNAMA