KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan hampir 200,000 Notis Bayaran Ansuran Cukai (CP500) kepada pembayar cukai dengan anggaran jumlah cukai sekitar RM1.1 bilion, sehingga Januari 2026, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
MoF turut berkata kerajaan mengambil maklum keadaan bahawa terdapat pembayar cukai yang sebenarnya tidak menerima pendapatan selain pendapatan penggajian juga telah menerima CP500.
Advertisement
“Semakan LHDN mendapati bahawa pembayar cukai berkenaan telah membuat pelaporan yang kurang tepat dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (atau BNCP), yang mana sebahagian pendapatan penggajian telah dilaporkan sebagai pendapatan selain penggajian.
“Dalam hal ini, tindakan pengesanan dan pembatalan CP500 sedang diambil ke atas pembayar cukai berkenaan,” kementerian itu berkata melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen pada Selasa.
MoF berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu asas pengeluaran borang CP500 bayaran ansuran, berapa pembayar cukai terbabit termasuk jangkaan jumlah yang dikutip.
Selain itu, kementerian itu berkata bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan selain penggajian, kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengenakan penalti sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500 tersebut sepanjang 2026.
“Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat pelaporan pendapatan dalam BNCP tahun taksiran 2025 bagi mengelakkan penerimaan CP500 pada masa hadapan,” tambahnya.
-- BERNAMA