KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melantik Datuk Mohd Nizom Sairi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM yang baharu berkuat kuasa 19 Oktober 2021.

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM, menjawat jawatan itu bagi menggantikan Datuk Seri Sabin Samitah.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, LHDNM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabin atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di LHDNM.

"LHDNM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Mohd Nizom Sairi atas pelantikan ini.

"Dengan pengalaman luas Datuk Mohd Nizom Sairi ini sudah pastinya akan membolehkan LHDNM mencapai visi untuk menjadi Pentadbir Cukai Terunggul selari dengan aspirasi membina sebuah Keluarga Malaysia yang terangkum," memetik kenyataan tersebut. 

Berikut merupakan latar belakang Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM yang baharu, Datuk Mohd Nizom Sairi:

Pendidikan: Pemegang ijazah sarjana dari Lawrence Technological University, Amerika Syarikat.

Kerjaya: Mula berkhidmat di LHDNM pada 13 November 1985 dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi operasi percukaian, pematuhan dan pungutan cukai, percukaian antarabangsa serta latihan percukaian.

Mohd Nizom pernah memegang beberapa jawatan penting di LHDNM, antaranya:

1) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) 
2) Pengarah Jabatan Siasatan LHDNM
3) Pengarah Akademi Percukaian Malaysia
4) Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai
5) Pengarah Negeri LHDNM Perak

Untuk rekod, Sabin secara rasmi mula memegang jawatan tertinggi LHDNM itu pada 12 Disember 2016 di mana sebelum itu beliau merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN.

Beliau dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Mohd Shukor Mahfar.