KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas dianggotai pelbagai pihak perlu dibentuk bagi memastikan maklumat, penyampaian dan komunikasi berkaitan COVID-19 dan vaksin lebih jelas terhadap masyarakat luar bandar dan golongan berisko.

Menurut pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Jessica Ong Hai Liaw, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu menggerakkan kempen berkaitan vaksinasi dengan kesantunan bahasa yang tinggi.

“Kempen diberikan oleh kementerian sangat baik cuma perlu lagi jawatankuasa khas melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan bukan kerajaan (NGO) serta swasta bersama-sama untuk menggerakkan kempen ini.

“Perkara ini bagi memastikan maklumat disampaikan lebih jelas dan tidak berlaku ketidaksantunan bahasa ketika krisis ini,” katanya dalam temu bual bersama program AWANI Pagi bertajuk Kepelbagaian Bahasa Mendidik Kepentingan Vaksin.

Sementara itu, Jessica turut menekankan kepentingan penggunaan bahasa ringkas, padat dan informasi yang menjaga sensitiviti masyarakat dalam penyampaian maklumat vaksin.

Jelasnya, peranan kesantunan dalam penyampaian semasa menguruskan krisis COVID-19 ialah melalui bahasa yang positif seperti meredakan situasi, mengurangkan tekanan, memberi motivasi, semangat dan meyakinkan.

“Kekeliruan maklumat berlaku kerana kadang kala penyampai maklumat kurang mahir, penyampai maklumat yang bertauliah itu penting dalam mengumumkan kenyataan seperti tidak ragu-ragu.

“Kerana ini akan menimbulkan rasa tidak yakin dan tidak selamat dalam kalangan rakyat kerana mereka sedang bimbang.

“Apa yang penting penyampaian semasa menguruskan krisis COVID-19 ialah meredakan situasi, mengurangkan tekanan, memberikan motivasi semangat menggunakan bahasa bersifat positif dan menyakinkan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Jesicca memberi penekanan berkaitan dengan kepelbagaian medium komunikasi dalam penyampaian maklumat berkaitan vaksin.

Katanya, komunikasi melalui televisyen, radio dan khidmat pesanan ringkas (SMS) perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan lagi supaya maklumat tepat boleh disampaikan secara berkala.

“Poster, infografik, alat pembesar suara penting juga penting untuk penyebaran maklumat di kawasan terpencil.

“Tidak kira apa bahasa kita gunakan yang penting ialah mesej itu jelas, sampai, ada nilai murni serta penggunaan dialek juga bagus namun perlu berhati-hati kerana kadang-kala sebutan dan makna berlainan,” katanya lagi.