ISTANBUL: Delegasi Malaysia ke Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kelima yang berlangsung di Istanbul, Turki, hari ini, menggesa agar satu resolusi menyeluruh yang memfokuskan kepada penyelesaian isu di Palestin dapat disepakati.

Menurut Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, ini termasuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menghantar tentera pengaman ke Palestin.

“Kita mesti gunakan sepenuhnya kuasa yang ada pada negara-negara terlibat dalam persidangan ini termasuk daripada kalangan ahli-ahli parlimen bagi mendesak PBB dan Majlis Keselamatan PBB bukan sekadar untuk meluluskan resolusi tetapi juga untuk menghantar tentera pengaman (ke Palestin).

“Ini kerana resolusi daripada Majlis Keselamatan PBB telah jelas mengatakan untuk hentikan peperangan dan berikan bantuan kemanusiaan, itu juga keputusan yang dicapai oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” tambahnya.

Selain itu, Ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Ahmad Tarmizi Sulaiman menegaskan, persidangan ini diharapkan mampu mengukuhkan satu resolusi yang mampu menekan PBB untuk merealisasikan gencatan senjata segera dan kekal di Gaza.

Tambah Ahli Parlimen Sik itu, persidangan itu juga wajar menggesa PBB supaya mengimbangi peranan blok barat dalam Majlis Keselamatannya agar tidak terus menerus menjadi penghalang kepada proses pembentukan negara Palestin yang merdeka.

“Kita perlu melihat langkah yang ke hadapan bagaimana kesatuan ahli parlimen sedunia ini perlu bergerak bersama dengan komuniti antarabangsa bagi pembebasan dan kemerdekaan Palestin.

“Antara yang penting disebut oleh pelbagai delegasi seluruh dunia termasuk daripada ahli parlimen dan juga wakil negara disini bagaimana kita perlu segera mendesak PBB untuk merealisasi gencatan senjata yang perlu dilaksanakan segera di Gaza.

“Malah sekarang kita melihat bagaimana kuasa barat itu perlu diimbangkan untuk mereka tidak terus menjadi penghalang kepada proses kemerdekaan Palestin, ia dapat dilihat menerusi beberapa tindakan memveto beberapa resolusi sebelum ini,” tambahnya.

Terdahulu, persidangan yang berlangsung sehingga Ahad ini telah dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.

Ia antara lain melibatkan 600 ahli parlimen daripada 75 negara merentasi benua Asia, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh bersama dua anggota kaukus termasuk Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.