PENGGEMPUR baru Penang FC, M. Kogileswaran Raj, mengakui kesungguhan skuad Harimau Kumbang itu untuk mendapatkan khidmatnya menjadi faktor utama dia memilih menyertai kelab utara tanah air berkenaan.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain yang mesra disapa Kogi itu turut mendedahkan bahawa Penang sudah melamarnya sebanyak tiga kali sejak 2021.

Kogi melengkapkan perpindahannya ke Penang semalam dengan menandatangani kontrak enam bulan dan pemain berusia 24 tahun itu akan menggunakan jersi nombor sembilan bagi baki saingan musim ini.

Terdahulu, bekas penyerang Petaling Jaya City FC dan Sri Pahang FC itu mengumumkan perpisahannya dengan kelab Liga K2 Korea Selatan, Chungbuk Cheongju, selepas mencapai persetujuan bersama.

Kogi berkata: "Dengan menyertai Penang bagi separuh musim ini, saya mahu membantu kelab ini untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan yang akan datang dan menduduki tangga terbaik dalam liga.

"Saya memiliki sentimen yang istimewa dengan Penang kerana mereka sudah tiga tahun berturut-turut memberikan tawaran buat saya.

"Jadi, saya rasa ini merupakan waktu terbaik untuk saya memilih Penang dan saya rasa perlu untuk saya membalas jasa baik mereka kepada saya," katanya.