Skip to main content

Malaysia

Lim Guan Eng, isteri dan Phang gagal batalkan pertuduhan, perbicaraan diteruskan

KUALA LUMPUR, 20 April –- Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara kes rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.  Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan memohon untuk meminda pertuduhan pertama yang dihadapi beliau berhubung kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Panel tiga hakim menolak permohonan difailkan Lim, Chew dan Phang untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew serta ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta akan diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Perkara itu diputuskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, menolak permohonan difailkan Lim, Chew dan Phang untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan itu dengan menyatakan bahawa doktrin autrefois acquit atau prinsip larangan pendakwaan dua kali yang dihujahkan oleh pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Pada 26 Mei 2023, Lim, Chew dan Phang memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan bukti daripada kes terdahulu melibatkan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn oleh Lim, walaupun beliau dilepas dan dibebaskan pada 2018.

Mengikut pertuduhan, Lim sebagai penjawat awam yang memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM372,009 bagi pihak isterinya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan bertindak memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd dianugerahkan projek Cadangan Penempatan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang, bernilai RM11,610,000, sedangkan Chew mempunyai kepentingan tidak langsung dalam projek tersebut.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di Pejabat Ketua Menteri, Aras 28, Komtar di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Must Watch Video

Advertisement