KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan yang baharu dilantik, Lim Hui Ying, berikrar akan cuba sedaya upaya menunaikan amanah berlandaskan dasar Kerajaan Perpaduan dan visi Perdana Menteri serta berintegriti mulia.

Beliau yang beralih portfolio daripada Timbalan Menteri Pendidikan berkata, pelantikan tersebut merupakan satu cabaran baharu buatnya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan melantik saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan bagi membantu dalam usaha pembangunan negara.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti DAP terutamanya Setiausaha Agung merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang mencadangkan nama saya untuk dilantik menjadi timbalan menteri yang mempunyai tanggungjawab yang berat ini.

"Harapan rakyat adalah sangat tinggi dan barisan menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan telah diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan kebaikan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pendidikan akan dapat membantu beliau menjalankan tugas berkaitan perbendaharaan negara bersama dengan Menteri Kewangan.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang merupakan rakan seperjuangan saya sejak pelantikan kami sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Negeri Pulau Pinang.

"Beliau mengamanahkan tugasan serta tanggungjawab yang penting dalam Kementerian Pendidikan (KPM) kepada saya selama ini dan saya yakin beliau akan terus memimpin kementerian terbesar ini dengan baik dan menjayakan tujuh teras utama dalam menerajui sistem pendidikan negara," ujar beliau.

Lim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Setiausaha KPM Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali, seluruh barisan pimpinan serta warga kerja KPM.

"Tidak lupa juga kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pendidikan terutamanya Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Tai Kim, Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Cheah Lek Aee, Tamil Foundation Malaysia dan ramai lagi pemimpin-pemimpin NGO lain.

"Saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang penting ini dengan sebaik yang mungkin dan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia," katanya.