KUALA LUMPUR: Pengunjung Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) berpeluang untuk melihat dari perspektif seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam satu kenyataan, Maritim Malaysia memaklumkan pengunjung LIMA'23 dapat melihat dari perspektif itu dengan penggunaan kaedah virtual reality (VR)

Dengan kaedah VR itu, pengunjunag dapat merasai pengalaman anggota Maritim Malaysia sedang bertugas melaksanakan operasi penguatkuasaan di atas bot serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari udara menggunakan kaedah winching.

"Maritim Malaysia turut membuka reruai di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) pada tarikh yang sama.

"Mengetengahkan rekaan haluan kapal sebagai inspirasi binaan pada kali ini, para pengunjung yang hadir ke reruai berkenaan akan dapat merasai suasana berada di atas kapal sebenar.

"Malah antara aktiviti yang dijangka bakal mencuri tumpuan pada reruai pameran Maritim Malaysia pada kali ini adalah virtual reality atau VR," kata kenyataan itu.

Menerusi penyertaan ketujuh ke acara yang menjadi tarikan seluruh dunia itu, Maritim Malaysia bakal menyajikan demonstrasi menyelamat di kapal yang akan dikendalikan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (STAR TEAM).

Ia bagi memperlihatkan bagaimana agensi ini melaksanakan tugas dalam situasi sebenar khususnya yang melibatkan serangan bersenjata oleh pihak penjenayah di laut seperti rompakan atau aktiviti jenayah di laut yang lain.

LIMA’23 turut menjadi platform kepada Maritim Malaysia dalam menjalinkan kerjasama dengan sektor komersial sama ada syarikat tempatan mahupun antarabangsa dalam mendapatkan teknologi terkini khususnya dari aspek keselamatan dan penguatkuasaan di laut.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam LIMA’23 membantu mempamerkan keupayaan dan kesiagaan Malaysia dalam aspek keselamatan maritim dan operasi mencari dan menyelamat (SAR), serta memberi peluang kepada pihak Maritim Malaysia untuk membina hubungan dengan organisasi lain dalam industri maritim dan aeroangkasa.