KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Khamis melebarkan kerjasama sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) dengan meningkatkan rangkaian menerusi memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) dengan enam pemain industri.

Kesemua kerjasama itu melibatkan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), PKT Logistics Group Sdn Bhd (PKT), Holistics Lab Sdn Bhd (HLSB), Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan MSET Inflatable Composit Corporation (MSET).

Memorandum itu ditandatangani Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dengan Ketua Bahagian Pengurusan Modal Insan Pelabuhan Tanjung Pelepas Jaizal Kamar Jalaludin serta Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Kumpulan PKT Datuk Seri Michael Tio.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLSB Ts Dr Mohd Iskandar Iliyas, Pengerusi Bersama MIGHT Tan Sri Dr Zakri Abd Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi) MYSA Nik Mazlina Nik Mustapha dan Pengarah Urusan Kumpulan MSET Aminudin Mat Yusof.

Kesemua memorandum ditandatangani serentak di Pre-Function Room, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi dengan disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup.

"Selain itu, kolaborasi tersebut melibatkan pemindahan ilmu, perkongsian pengalaman dan idea, penganjuran konferensi dan juga penerbitan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UMT.

Beliau berkata MoU UMT bersama PKT Logistics Group Sdn Bhd pula melibatkan perkongsian ilmu, latihan, fasiliti dan tajaan yang akan menguntungkan kira-kira 100 pelajar Fakulti Pengajian Maritim UMT.

"Mereka ini akan terlibat dalam program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) 'Smart Logistician' 2023 yang menggunakan modul latihan berkaitan industri logistik serta penggunaan teknologi Internet benda (IoT) dalam operasi pergudangan selain pelajar yang berjaya akan ditawarkan bekerja di PKT Logistics Group Sdn Bhd.

"Jalinan kerjasama itu juga membuka peluang penyelidik UMT menjalankan kajian dan penyelidikan bagi merealisasikan Malaysia sebagai hab logistik utama di ASEAN. Kajian ini juga bakal melibatkan pemain industri Malaysia disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia," katanya.

Beliau menjelaskan dengan kepakaran dimiliki UMT dalam bidang perkapalan dan operasi logistik, penyelidik UMT berupaya menjalankan kajian berkaitan usaha meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus dan juga operasi syarikat logistik di Malaysia.

Dalam pada itu, Mazlan berkata pemeteraian jalinan kerjasama antara UMT dan HLSB merupakan satu langkah strategik memandangkan syarikat itu antara peneraju utama berkaitan latihan dan pembangunan halal di Malaysia.

"Secara tidak langsung kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada sektor pengangkutan, logistik dan rangkaian bekalan di Malaysia," katanya.

Beliau juga berkata kerjasama strategik dengan MIGHT dan MYSA adalah untuk menghasilkan bot katamaran moden dengan bantuan MSET yang akan membina prototaip bot tersebut.

"UMT mengambil langkah terkehadapan dalam usaha menghasilkan reka bentuk bot nelayan baharu yang mempunyai ciri-ciri moden serta peralatan penangkapan ikan terkini yang mampu menggandakan hasil tangkapan dan seterusnya meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

"Kejayaan penghasilan bot katamaran moden ini dilihat mampu menarik golongan muda untuk menceburi bidang perikanan seterusnya menyumbang kepada jaminan kecukupan bekalan makanan negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA