KUALA LUMPUR: Sepuluh individu termasuk lima anggota penguat kuasa ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 bagi meminda butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau dalam sistem tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Empat suspek ditahan di Johor, tiga di Selangor, dua di Perak dan satu di Sabah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua mereka disyaki meminta rasuah daripada pemilik-pemilik kenderaan dan orang tengah, sebagai balasan kerana melakukan kegiatan itu.

Menurutnya, semua suspek yang berumur 33 hingga 66 tahun ditahan sekitar 11 pagi hingga 3 petang tadi, dan kegiatan itu didalangi empat ejen serta seorang pemilik syarikat, yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

"Terdapat dua modus operandi dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.

"Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan kira-kira RM1.28 juta untuk lima anggota penguat kuasa yang terlibat, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita," katanya malam tadi.

Beliau berkata, ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 hingga 2022.

"Pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan 50 peratus tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan terhadap maklumat kenderaan mereka.

"Ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan akan memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat tanpa mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru dan Kota Kinabalu hari ini.

- BERNAMA