TAWAU:Lima individu ditahan bersama dadah jenis Syabu oleh sepasukan polis dari bahagaian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melalui penugasan Ops Benteng (ATIPSOM) di kawasan lapang sebuah ladang kelapa sawit Batu 10, Jalan Apas, Tawau pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas dalam satu sidang media khas berkata, melalui maklumat yang diterima oleh unit risikan, phaknya telah mengesan dan mengekori dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan lalu menahan kenderaan tersebut pada jam 8 malam.

"Hasil pemeriksaan daripada salah sebuah kenderaan tersebut, pihak polis telah menemui sebuah beg berwarna hitam mengandungi 25 bungkusan disyaki dadah jenis syabu dan sebuah lagi beg berwarna coklat mengandungi satu bungkusan juga disyaki dadah jenis syabu," katanya.

Ekoran penemuan barang terlarang tersebut, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan yang berumur antara 16 hingga 55 tahun iaitu empat rakyat tempatan dan seorang warga asing ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kesemua dadah syabu yang dirampas dianggarkan seberat 28,798.97 gram dengan nilai harga pasaran tempatan berjumlah RM1.5 juta dan dipercayai akan dibawa ke negara jiran Indonesia.

"Semua suspek kini sedang ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 Januari sehingga 21 Januari depan di bawah Seksyen 117 Kanun Peraturan Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.

Mengulas lanjut Peter berkata, siasatan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati semua adalah negatif daripada sebarang jenis dadah.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Siasatan Jenayah Narkotik (KSJN) negeri Sabah, ACP Ahmad Jefferi Abdullah; Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor dan Inspektor Syed Muhammad Iqbal.