KUALA LUMPUR: Lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket tambah nilai kad Touch 'n Go dan kad mata ganjaran tidak sah di sekitar Cheras, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mereka yang ditahan di sebuah kondominium kira-kira 4 petang itu, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun.

Beliau berkata pihaknya merampas antaranya lapan unit telefon bimbit, kad Touch 'n Go (1,400 keping), kad mata ganjaran pelbagai nombor siri (5,200 keping) dan 35 ikatan resit kad ganjaran pelbagai nombor siri.

Katanya polis turut menemui seunit pembaca data kad yang disyaki peralatan digunakan untuk menambah nilai kad Touch 'n Go dan kad mata ganjaran secara tidak sah.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini telah mula beroperasi sejak Mac tahun lalu dan kad-kad yang telah ditambah nilai secara tidak sah digunakan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua tahanan telah direman (bermula) hari ini sehingga Sabtu ini. Siasatan dijalankan di bawah seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer kerana membuat capaian yang tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham berkata syarikat pengeluar kad Touch 'n Go menjadi mangsa dan mengalami kerugian kira-kira RM12,500 setelah sindiket itu berjaya menambah nilai sebanyak 22 kad.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tambah nilai yang tidak sah ke atas kad Touch 'n Go atau sebarang kad mata ganjaran.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan seperti ini hendaklah melaporkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599, Whatsapp CID Infoline di talian 013-2111 222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

-- BERNAMA