Skip to main content

Malaysia

Lima lelaki ditahan, merusuh bersenjata di Pandamaran

pergaduhan Pandamaran
Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam Sabtu membabitkan dua mangsa warga tempatan berusia 22 dan 26 tahun. - Gambar tular/ FB Lee Adelene
Advertisement

KLANG: Lima lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan menggunakan senjata di sebuah kedai makan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, di sini pada Sabtu.

Beberapa rakaman pergaduhan itu turut tular di media sosial dengan kapsyen yang mendakwa kejadian berlaku selepas satu majlis makan malam, selain beberapa individu dikatakan membawa senjata seperti pisau dan kayu pemukul besbol.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam dan membabitkan dua mangsa warga tempatan berusia 22 dan 26 tahun.

"Kedua-dua mangsa dipercayai dipukul beberapa suspek sehingga mengalami kecederaan pada muka dan hidung.

"Mangsa kemudian di hantar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Bertindak atas maklumat, Jit Huey berkata, polis menahan lima suspek warga tempatan berusia antara 18 dan 25 tahun, pada Ahad.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Lim Jit Huey berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Must Watch Video

Advertisement