KOTA KINABALU: Lima lelaki parah manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Andus, Papar, kira-kira 7 pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza, Isuzu D-Max dan motorsikal.
Menurut kenyataan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 7.24 pagi sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian pada 7.38 pagi.
“Kemalangan berlaku ketika kenderaan Produa Bezza terlibat membuat pusingan U dan kemudian bertembung dengan dua kenderaan lain.
“Lapan individu terlibat dalam kemalangan tersebut dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” menurut kenyataan itu.
Mangsa berumur antara 15 hingga 50 tahun itu kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba serta ambulan untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada 8.13 pagi selepas pemeriksaan dijalankan dan tiada bahaya lain dikesan.
-- BERNAMA