KUALA LUMPUR: Sejumlah lima lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di Sabah dilaksanakan di dua lokaliti di Ranau iaitu Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan serta satu lokaliti di Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid, Sook.

Di Pahang pula PKPD dilaksanakan Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakan dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom di Mukim Ulu Jelai, Lipis.

PKPD selama dua minggu itu dijadual tamat pada 9 Oktober depan.

Sementara itu, beliau memaklumkan tiga lokaliti di Pahang dilanjutkan PKPD sehingga 9 Oktober depan iaitu di Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai Lipis serta dua perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau, Temerloh.

Dalam pada itu, tiga lokaliti ditamatkan PKPD pada 25 September iaitu di Felda Keratong 5, Romping, Pahang; Kampung Ulu Groh, Kampar, Perak dan Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, Sabah.