KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur terus mencatat kenaikan apabila ditutup tinggi pada Selasa berikutan niaga hadapan getah serantau yang kukuh dan kekangan bekalan yang berterusan akibat fenomena El Nino, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen turut disokong oleh petunjuk dasar ekonomi yang menggalakkan dari China dan tanda-tanda sektor kenderaan elektrik (EV) negara itu yang terus berkembang.
“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan jangkaan yang meningkat mengenai kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata gabenor bank pusat China mengekalkan komitmennya untuk terus membuka pasaran kewangan negara itu kepada aliran pelaburan dua hala dalam pertemuan dengan institusi kewangan asing.
“Selain itu, pengeluar EV China, BYD mengambil lebih 8,000 pekerja di beberapa kilang dan unit perniagaan di pangkalan pengeluarannya di Xi’an, barat laut China,” katanya.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 9.5 sen kepada 992 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 2.5 sen kepada 720.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA