PUTRAJAYA: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mahupun Penasihat Undang-Undang Negeri terbabit.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, ia berpandangan bahawa sebarang urusan berkaitan pelantikan serta penggantungan kedua-dua jawatan kanan itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa suruhanjaya perkhidmatan berkaitan, dan bukannya pihak berkuasa negeri.
"Jabatan ini berpandangan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut.
"Perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS)," jelas AGC dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Mengulas mengenai cadangan pengisian jawatan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu, jabatan itu menegaskan lantikan berkenaan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan wajib mematuhi kerangka perlembagaan negeri yang ditetapkan.
"Bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula, perlu dinyatakan bahawa pelantikannya hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan," tegasnya.
Kenyataan AGC itu menyusul susulan pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang memutuskan penggantungan tugas SUK Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta menerusi mesyuarat khas MMKN.
Tindakan penggantungan tersebut berpunca daripada keengganan Pejabat SUK Negeri Sembilan mematuhi arahan menteri besar untuk mewartakan serta melaksanakan satu proklamasi bertarikh 19 April lalu yang menyentuh institusi istana dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Susulan tindakan penggantungan tersebut, Ismail memaklumkan bahawa Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri secara sementara.
Manakala peranan memberi khidmat nasihat perundangan kepada kerajaan negeri pula, beliau serahkan kepada peguam bela dan peguam cara persendirian, Fahmi Adilah sehingga ketetapan lanjut dibuat.
Krisis pentadbiran negeri bertambah meruncing apabila Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan sebelum itu mengesahkan bahawa Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan seluruh barisan Exco kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Ismail mempertikaikan tindakan istana tersebut dengan hujah bahawa beliau tidak pernah menasihati baginda untuk menamatkan pelantikan ahli MMKN di bawah Perkara 38(5) UUTKNS, sebelum bertindak menggantung kedua-dua pegawai kanan terbabit serta melantik pengamal undang-undang persendirian bagi mengambil alih tugas nasihat perundangan negeri.