PUTRAJAYA: Lima negeri akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 5 Julai depan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini, beliau berkata, lima negeri tersebut ialah Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Jelasnya lagi, peralihan kelima-lima negeri itu ke fasa seterusnya adalah kerana negeri-negeri terbabit berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan iaitu – kes harian COVID-19 bawah 4,000, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU), serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

“Dengan ini saya hendak sekali lagi maklumkan bahawa terdapat lima negeri yang telahpun memenuhi tiga indikator, dan boleh beralih ke Fasa 2 iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

“Peralihan ke Fasa 2 ini berkuat kuasa pada 5 Julai, 2021, atau Isnin depan,” katanya lagi.

Turut bersama-sama dalam sidang media berkenaan ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi PPN.

Pada 15 Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara, dengan empat fasa, sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19 pada satu peringkat yang munasabah.

BACA: 4 fasa Pelan Pemulihan Negara, 3 indikator utama jadi panduan

Peralihan dari fasa kedua ke fasa ketiga memerlukan negeri itu mencapai jumlah kes harian di bawah 2,000; sistem kesihatan awam termasuk ICU berada pada paras selesa; dan liputan dua dos vaksin untuk 40 peratus populasi negeri.

Dengan peralihan ke fasa kedua, lima negeri terbabit akan menyaksikan pembukaan sektor ekonomi yang lebih meluas seperti automotif, seramik, simen, getah, besi keluli, dan kilang perabot bagi tujuan eksport.

Aktiviti peruncitan juga akan diperluas kepada kedai komputer dan telekomunikasi, kedai buku dan alat tulis, barangan elektrik, serta perkhidmatan asas gunting rambut dan cuci kereta.

Kapasiti bekerja bagi semua sektor yang dibenarkan beroperasi ditingkatkan kepada 80 peratus, berbanding 60 peratus pada fasa satu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Dalam Fasa 2 PPN, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, jelas beliau lagi, pengecualian akan diberikan untuk pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan, serta pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menilai semula tahap pencapaian nilai ambang kelima-lima negeri tersebut.

“Kalau salah satu negeri katakan drop nilai ambangnya, contoh nombor kes COVID-19 atau  berapa banyak kes. Di sini kita akan bawa balik perbincangan ke sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini kita akan buat keputusan sebelum buat pengumuman.

“Tapi secara dasarnya kalau nilai ambang jatuh, maka negeri itu akan pergi ke fasa terdahulu, atau dapat capai tiga nilai ambang seterusnya, ia boleh naik ke fasa seterusnya," katanya lagi.