Skip to main content

Malaysia

Lima pasar di Terengganu dipilih Pasar Patuh KPDN

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos -- Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Musfi Lat (tiga, kiri) memantau tanda harga produk keropok keping pada Program Pelancaran dan Advokasi Pasar PATUH dan Zon Pelancongan PATUH di Pasar Kedai Payang hari ini.  Program Pasar PATUH 2026 di negeri ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap pematuhan perundangan dan amalan perniagaan yang baik khususnya di lokasi tumpuan pelancong.  -- fotoBERNAMA
Mohd Musfi (tiga, kiri) memantau tanda harga produk keropok keping pada Program Pelancaran dan Advokasi Pasar PATUH dan Zon Pelancongan PATUH di Pasar Kedai Payang hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Lima pasar di Terengganu dipilih Pasar Patuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun ini, bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan serta mengamalkan amalan perniagaan yang baik, terutama di lokasi tumpuan masyarakat dan pelancong.

Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata lima pasar berkenaan ialah Pasar Payang 2 di Kuala Terengganu, Pasar Binjai di Kemaman, Pasar Besar Dungun, Pasar Bukit Payong dan Pasar Kampung Raja di Besut.

Beliau berkata pemilihan lokasi berkenaan mengambil kira kepentingannya sebagai pusat urus niaga yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pelancong.

“Pada 2026, Pasar Payang 2 dipilih Pasar Patuh dan Zon Tumpuan Pelancongan Patuh KPDN dengan lebih 200 peniaga terlibat.

“Program ini merupakan usaha KPDN untuk meningkatkan kesedaran dan pematuhan dalam kalangan peniaga, terutama berkaitan peraturan, perundangan serta amalan perniagaan yang baik,” katanya selepas Program Pelancaran dan Advokasi Pasar Patuh KPDN serta Zon Tumpuan Pelancongan Patuh KPDN Terengganu 2026 di Pasar Payang 2, di sini hari ini.

Mohd Mufsi berkata melalui pelaksanaan Pasar Patuh KPDN, penekanan diberikan kepada aspek pematuhan, kawalan kendiri dan amalan perniagaan yang baik dalam kalangan peniaga.

Katanya, program advokasi berkenaan turut membabitkan sesi taklimat oleh KPDN bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Taklimat ini memberi penerangan kepada peniaga mengenai pematuhan perundangan, pendaftaran dan pelesenan, keselamatan, kebersihan makanan serta perkara berkaitan industri pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mufsi berkata KPDN turut memperkenalkan elemen kawalan kendiri di Pasar Payang 2, termasuk penyediaan tanda harga yang memaparkan maklumat harga dan item jualan.

Katanya, pelekat tanda harga berkenaan dibekalkan kepada semua peniaga terbabit bagi memudahkan pengguna mengetahui harga barangan ditawarkan.

“Pada masa sama, kita menetapkan satu kios timbang kendiri di setiap pasar yang dipilih sebagai Pasar Patuh bagi memastikan ketelusan dari segi kuantiti barangan dibeli pengguna.

“Sekiranya timbangan atau kuantiti yang diterima tidak sama seperti dinyatakan peniaga, pengguna boleh membuat aduan kepada KPDN melalui sembilan saluran aduan disediakan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menempatkan pegawai secara tetap di kios berkenaan, sebaliknya menggalakkan pengguna menggunakan kemudahan tersebut sebagai mekanisme kawalan kendiri.

“Persatuan peniaga di Pasar Payang juga akan bekerjasama dengan KPDN sebagai mata dan telinga bagi menyampaikan sebarang masalah atau aduan yang berlaku di kawasan ini,” katanya.

Selain Pasar Patuh dan Zon Tumpuan Pelancongan Patuh, Mohd Mufsi berkata KPDN Terengganu turut melaksanakan Program Zon Persinggahan Patuh dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad, membabitkan hentian dan pusat rehat dan rawat (R&R) di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga supaya melaksanakan kawalan kendiri dan memastikan pematuhan terhadap peraturan serta perundangan yang ditetapkan.

"Sebagai sebahagian daripada usaha advokasi, elemen komunikasi seperti tanda harga, kain rentang, banting dan bahan hebahan turut digunakan bagi menyampaikan maklumat kepada peniaga serta pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement