MELAKA: Lima pegawai polis dan seorang orang awam ditahan ketika sedang memproses minuman ketum di sebuah rumah di Alor Gajah malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata kesemua lelaki yang terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga pegawai rendah polis serta orang awam berusia antara 31 hingga 55 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira 11.30 malam tadi.

Beliau berkata pasukan serbuan turut merampas 5.2 liter cecair ketum yang dipek ke dalam beberapa botol dan dibungkus dengan plastik selain sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta satu besen.

"Kesemua pegawai polis yang ditahan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. Polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai polis terlibat dengan pelanggaran disiplin yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap nama baik PDRM.

"Operasi sebegini akan terus dijalankan oleh PDRM dalam membersihkan sebarang anasir yang tidak baik daripada terus merebak agar pegawai polis yang menjadi 'gunting dalam lipatan' yang boleh menjejaskan kredibiliti serta keyakinan masyarakat kepada PDRM diambil tindakan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan reman terhadap kesemua lelaki itu akan dibuat pada hari ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(2) Akta Racun 1952.


-- BERNAMA