Lima sekeluarga maut manakala seorang kanak-kanak parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit kira-kira 2.45 pagi Sabtu.

Nahas tersebut mengorbankan pasangan suami isteri, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21 dan anak mereka Nur Khaira Aisyah Mohd Kharulinzam, lapan bulan.

Turut terkorban adalah Muhammad Nashrullah Salleh, 5, manakala seorang lagi mangsa Rozilawati Mustafa@Razali, 43, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Seorang lagi mangsa pula, Muhammad Khairul Haziq Abdul Hadi, 5, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.


Kejadian dipercayai berlaku selepas Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok ketika menuju ke Kuala Terengganu dari arah Kelantan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.

“Setiba di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan terbabas dan melanggar pokok di seberang jalan dan didapati lima mangsa berada di dalam kenderaan manakala satu mangsa telah dikeluarkan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kesemua mangsa dihantar ke HSNZ untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.