SATU sumber memberitahu kumpulan legenda Linkin Park akan membuat reunion sekali gus melancarkan siri jelajah konsert pada 2025.

Untuk melengkapkan anggota kumpulan yang kini tinggal tiga iaitu Mike Shinoda, Brad Delson dan Dave Farrell selepas kematian vokalisnya, Chester Bennington, Linkin Park mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat vokalis perempuan, lapor Billboard.

Spekulasi tentang Linkin Park reunion semula ini sempat ‘disahkan’ oleh Jay Gordon dari Orgy yang mendakwa terdengar kumpulan tersebut akan kembali aktif.

“Linkin Park memang alami kesukaran tanpa Bennington tetapi mereka akan kembali. Saya dengar bersama vokalis perempuan,” katanya yang bagaimanpun kemudiannya menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Khabar kumpulan yang terkenal dengan lagu In The End akan kembali bersama vokalis perempuan juga dikuatkan dengan penyanyi Evanescence, Amy Lee yang dikatakan akan mengantikan tempat Bennington.

“Saya tidak pasti tentang itu, tetapi jika betul ia memang luar biasa,” kata Amy Lee tentang gosip tersebut.

Linkin Park adalah salah sebuah kumpulan paling sukses di dunia pada tahun 2000 dengan album mereka terjual sebanyak 29.4 juta unit hanya di Amerika Syarikat.

*Artikel asal yang disiarkan di Gempak